06 December 2010

Demo air: Polis tembak gas pemedih mata


Gambar2 lain di bawah.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ketika penyokong baju merah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

selangor water demo - water cannonsMereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak

Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air di hadapan stesen lama KTM.

Manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.

selangor water demo crowdDifahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kemudiannya, penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.

Khalid kemudiannya menyerahkan memorandum serta 150,000 tandatangan kepada wakil Istana Negara. Menurut exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, pihak polis tidak membenarkan mereka mengambil gambar.

selangor water demo crowdPada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang masih berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai.

Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.
Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Angka itu bertambah sehingga 7,000 orang sebelum berselerak sedikit demi sedikit apabila disembur meriam air dan gas pemedih mata bertalu-talu.

Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

selangor protest against syabas 20101205 student banner 02Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.
Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Kumpulan berbaju merah itu mula bersurai kira-kira 3.30 petang tadi setelah diberikan jaminan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh bahawa semua yagn ditahan akan dibebaskan.

"Saya berjanji tidak ada sesiapa yang ditangkap sekiranya tuan-tuan beredar secara sukarela dan aman," katanya melalui pembesar suara milik kumpulan baju merah.

Dr Zulkefly dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut memainkan peranan menenangkan dan menyuraikan peserta perhimpunan itu.

------

MB S'gor: Polis tak tunai janji, saya kesal

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kesal dengan tindakan polis menangkap kira-kira 50 orang peserta perhimpunan membantah kenaikan harga air di Masjid Negara di ibu negara hari ini.

Selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Khalid menyatakan kekesalannya kerana "polis tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman"

selangor water demo crowd Khalid ibrahim baca kandungan memo“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata menteri besar.

Dalam satu kenyataan, Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan hari ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air," tambah Khalid.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang didakwa hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi.

Suhakam: Tugas polis bukan maki hamun

Menurut Khalid, beliau berjaya menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman kira-kira jam 2.15 petang.

suhakamSementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mohd Shaani Abdullah berkata, mereka mendapati polis bertindak tidak profesional menangani perhimpunan membantah kenaikan harga air di Selangor hari ini.

"Mereka (polis) perlu dilatih lagi. Tugas mereka bukan mendera atau maki hamun orang ramai. Ini tidak dilakukan dengan betul dan mereka sepatutnya profesional menanganginya.

"Ia menyebabkan orang ramai benci pada polis. Mungkin perhimpunan ini tiada permit tetapi mereka tidak patut mengeluarkan kata-kata kesat," katanya kepada pemberita di Masjid Negara selepas tamat perhimpunan baju merah itu.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzukefly Ahmad pula menyifatkan polis bertindak keterlaluan menangani perhimpunan itu.

"Kami bercadang bangkitkan perkara ini dalam sidang parlimen yang akan datang," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS.


-- Malaysiakini









1 comments:

AhNon said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...