19 December 2010

Pernikahan Taib Mahmud & Isteri Lubnan


Taib Mahmud ketika dinikahkan oleh mufti sarawak, Kipli Yassin (berbaju hijau) sambil disaksikan oleh ahli keluarga terdekat di kediaman rasmi beliau di demak Jaya, Kuching, malam tadi. - mingguan malaysia/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 18 Dis. - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selamat dinikahkan dengan seorang wanita Arab berusia 28 tahun dipercayai dari Lebanon dalam majlis tertutup yang diadakan di kediamannya di Demak Jaya malam ini.

Taib dan isterinya dinikahkan oleh Mufti Sarawak, Kipli Yassin pada pukul 9.30 malam dalam satu majlis sederhana yang diadakan di ruang utama kediaman rasmi beliau.

Turut kelihatan pada majlis akad nikah itu ialah anak kedua Abdul Taib, Mahmud Abu Bekir.

Semalam, ketika menghadiri Majlis Dialog dan Makan Malam Bersama Persatuan-Persatuan Cina di sebuah hotel di sini, Abdul Taib menafikan bahawa beliau telah berkahwin dan sekadar menjawab: "Belum lagi."

Perkahwinan itu sekali gus menamatkan zaman duda Ketua Menteri itu selepas kematian isteri, Allahyarham Puan Sri Laila Taib akibat kanser pada April tahun lalu.

Terdahulu, anggota keselamatan yang bertugas di kediaman Abdul Taib memaklumkan bahawa pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan kerana ia merupakan majlis tertutup.

Majlis tersebut hanya dihadiri orang kenamaan dan ahli keluarga terdekat bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat kira-kira pukul 6.30 petang dan dihadiri kira-kira 200 tetamu khas.

Antara kenamaan yang dilihat memasuki kediaman Ketua Menteri ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan dan Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Turut hadir, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Acara tepung tawar mempelai dan persembahan hadrah turut diadakan ketika Abdul Taib dan isteri bersanding dengan hanya kenalan dan keluarga terdekat diberi peluang menepung tawar pasangan berkenaan.

Abdul Taib yang berkahwin dengan Allahyarham Laila pada 1959 dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 cucu.

Sementara itu, Setiausa Akhbar Ketua Menteri, Amin Sahmat yang ditemui pemberita berkata, majlis berkenaan adalah tertutup dengan hanya jemputan tertentu dibenarkan memasuki kediaman Abdul Taib.

Katanya, pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dengan majlis kepada orang ramai akan diadakan pada Januari depan.

Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai majlis berkenaan yang sebelum ini dipercayai bagi meraikan Ketua Menteri dan pasangannya.
p/s Gambar ikhsan dari MiloSuam

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...